Menutup Aurat Budaya Murni Wanita Muslim
HUKUM
wajib menutup aurat tidak boleh dimansuhkan dengan hujah akal, walau
sehebat mana sekalipun logiknya hujah itu. Ini kerana hukum itu
ditetapkan dengan nas yang jelas, yang tidak lagi boleh diijtihadkan.
Nas yang terang dalam epistemologi Islam, mengatasi akal rasional,
kerana nas itu adalah daripada wahyu yang nyata maksudnya, tidak
memerlukan akal rasional untuk menerangkannya. Apa lagi untuk
membatalkan pengertiannya yang jelas itu. Demikian pendapat MOHD NAKHAIE
AHMAD. Ikuti tulisan beliau. |
WALAUPUN
ada pihak yang bersikap sinis terhadap pakaian menutup aurat, budaya
berpakaian menutup aurat itu sudah berkembang dan diterima masyarakat.
Ramai wanita menerima budaya ini, termasuk wanita bekerja. Bahkan di
Kuala Lumpur, wanita bukan Islam memilih baju kurung untuk dipakai pada
hari tertentu seperti Jumaat. Pakaian ini, kelihatan lebih sopan dan
manis jika dipilih fesyen dan cara berpakaian yang sederhana. Tetapi
kelihatan agak janggal jika aurat ditutup secara melampau, tanpa
menghiraukan kebersihan dan pakaian yang kemas dan rapi. |
Wanita
Islam di negara ini mula memakai pakaian menutup aurat secara sedar dan
beramai-ramai selepas berkembangnya gerakan dakwah secara teratur di
pusat pengajian tinggi pada awal 70-an. Pada masa itu pengaruh
sekularisme dan sosialisme di kalangan intelektual berada di
kemuncaknya. Gerakan Islam, baru saja mengambil tempat di tengah
pertarungan ideologi di kalangan mahasiswa dan golongan terpelajar. |
Budaya
menutup aurat bukanlah berkembang tanpa tentangan. Saya masih ingat
ketika menjadi penasihat agama di ITM, saya dipanggil oleh pihak
pengurusan ITM kerana beberapa pelajar berpakaian menutup aurat. |
Saya
mempertahankan langkah pelajar itu dengan menyatakan menutup aurat itu
wajib. Jika orang Sikh dibenarkan memakai serban atas alasan agama,
mengapa orang Islam hendak mematuhi kehendak agama mereka, ditegah
dengan pelbagai halangan? |
Sewaktu
saya menyambung pelajaran di Mesir pada 1976, seorang doktor wanita
dari Malaysia yang sedang melawat Mesir bersama suaminya, merungut
mengenai pakaian menutup aurat. |
Ia
menyatakan pakaian itu tidak sesuai kerana menghalang kemajuan. Saya
berkata kepadanya ramai wanita Cina yang bekerja sebagai buruh di sektor
pembinaan menutup seluruh badan mereka sewaktu bekerja. |
Tanpa
mereka rancangan pembangunan akan tergendala. Apakah kerana pakaian
yang dikatakan berbungkus itu yang menghalang kemajuan atau pemikiran
yang tidak terbuka yang membawa kesusahan? |
Doktor wanita itu terus memohon izin suaminya untuk keluar membeli-belah. |
Ada
orang yang begitu percaya kulit tidak penting dan yang penting ialah
isi kerana itu pakaian tidak menunjukkan seseorang lebih Islam. Soal
pakaian adalah perkara remeh. |
Tetapi
orang yang sama begitu membesarkan wanita memakai pakaian menutup
aurat. Jika soal pakaian tidak penting, biarlah wanita kita memilih apa
saja pakaian yang dikehendaki mereka termasuk berpurdah sekalipun. |
Tetapi
apabila mereka memilih pakaian menutup aurat pemilihan itu menjadi
penting dan dihentam seolah-olah pakaian itu memberi ancaman kepada
sistem kehidupan di negara ini. |
Kulit
dan isi sama penting. Tanpa kulit yang mengawal, isi akan menjadi
busuk. Kulit tanpa isi apalah gunanya. Walaupun budaya yang dianggap
kulit tidak boleh digunakan, tetapi ada peranannya dalam sistem
kehidupan. |
Yang
paling penting ialah kita harus mengetahui kulit apa. Jika kita kenal
kulit durian, kita akan kenal isinya. Jika kita tidak kenal kulit durian
kita mungkin menyangka isi buah lain sebagai isi durian. Mungkin isi
itu memabukkan dan kita pun berkata buah durian itu memabukkan. Ini
mungkin berlaku jika kita menyangka yang penting hanya isi dan bukan
kulit. |
Pakaian
menutup aurat mungkin dianggap kulit. Tetapi pakaian itu diwajibkan
oleh Islam dengan nas yang terang. Orang yang menutup aurat dengan
kesedaran bahawa pakaian seumpama itu diwajibkan oleh agama,
sekurang-kurangnya, akan berasa lapang ia sudah menunaikan salah satu
tuntutan agamanya. Tuntutan yang mudah dan tidak membebankan. |
Walaupun
dengan memakai pakaian menutup aurat itu, bukanlah bermakna Islamnya
sempurna dan bebas daripada kemungkinan melakukan dosa, namun ia lebih
baik daripada orang yang tidak menutup aurat yang melakukan dosa
sepertinya. |
Pendek
kata, memakai pakaian menutup aurat itu suatu kebaikan dan ia tidaklah
boleh dihalang semata-mata kerana ia terdedah kepada melakukan
kejahatan. Dengan memakai pakaian menutup aurat, sebenarnya, ia
terhindar daripada dosa mendedahkan aurat yang dilarang Allah. |
Melanggar
sesuatu hukum yang diperintahkan Allah, walaupun mengenai pakaian,
bukanlah perkara remeh. Mentaati perkara wajib adalah perkara besar,
walaupun dilihat remeh oleh manusia. Allah berfirman, mafhumnya: |
"Dan
kamu berkata dengan mulut kamu tanpa kamu mempunyai ilmu mengenai
perkara yang kamu katakan itu. Kamu menyangka ia perkara remeh pada hal
di sisi Allah ia adalah besar." |
Menutup
aurat, termasuk juga memilih kain yang tidak menampakkan kulit tubuh
untuk membuat pakaian. Fesyen juga, tidak yang melekat kepada tubuh
apabila memakainya sehingga menampakkan bentuk tubuh. |
Tetapi
bukanlah mesti jenis pakaian yang tebal sehingga tidak sesuai dengan
iklim dan tidak pula longgar sehingga langsung tidak sesuai dengan
keadaan. Pakaian menutup aurat bukan pula tidak mengambil kira keperluan
supaya kelihatan ringkas dan kemas. |
Budaya
menutup aurat yang dikehendaki Islam, bukanlah budaya selekeh seperti
yang diamalkan oleh sesetengah wanita dan lelaki Islam. Ia adalah
pakaian yang sederhana. Pakaian yang berada antara fesyen yang
menggiurkan dengan pakaian selekeh, melucukan, dan tidak sesuai dengan
keadaan sehingga dibenci dan dicemuh. |
Pakaian
Islam tidak menolak perlunya penampilan yang cantik dan bergaya. Pernah
Rasulullah saw berbicara mengenai sifat takbur. Rasulullah saw
bersabda: |
"Tidak masuk syurga seorang yang memiliki dalam hatinya sedikit saja daripada sifat bongkak." |
"Sebagaimana si polan yang pakaiannya cantik dan kasutnya cantik." |
Sahabat
itu merujuk kepada pakaian yang cantik dan penampilan yang bergaya itu
sebagai simbol kebongkakan. Rasulullah saw membetulkan salah faham itu
dengan berkata: |
"Sesungguhnya
Allah itu indah dan suka kepada keindahan. Sifat bongkak ialah
menghalang kebenaran dan memandang rendah terhadap manusia." |
Hukum
wajib menutup aurat tidak lagi boleh dimansuhkan dengan hujah akal,
bagaimanapun lojiknya hujah itu. Ini kerana hukum itu ditetapkan dengan
nas yang jelas yang tidak lagi boleh diijtihadkan. |
Nas
yang terang dalam epistemologi Islam, mengatasi akal rasional, kerana
nas itu adalah daripada wahyu yang nyata maksudnya, tidak memerlukan
akal rasional untuk menerangkannya. Apalagi untuk membatalkan
pengertiannya yang jelas itu. |
Sungguhpun
begitu, akal rasional, boleh meneliti hikmah di sebalik kewajipan itu
untuk menambahkan keyakinan terhadap kebenaran hukum yang telah
ditetapkan oleh nas. Tetapi bukan untuk meminda atau merombak hukum itu
dan menggantikannya dengan yang semata-mata berdasarkan hujah rasional. |
Salah
satu hikmah kewajipan menutup aurat itu ialah untuk melindungi diri
wanita daripada jenayah seks. Tetapi ini, bukanlah faktor sebenarnya
yang hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Ini hanya sebahagian daripada
hikmah yang dapat ditanggapi akal rasional sebagai sebab kewajipan
menutup aurat itu ditetapkan. Hujah, kononnya faktor menutup aurat itu
ialah untuk mencegah kegelojohan seks di kalangan masyarakat jahiliah
dan keadaan seperti itu tidak ada lagi pada zaman ini, bukan saja tidak
relevan, tetapi juga tidak lojik. |
Siapakah
yang dapat menentukan kegelojohan seks pada zaman ini sudah tiada lagi.
Pada hal pada zaman Jahiliah, zina tidak berlaku di kalangan wanita
yang dianggap bertaraf mulia. Hanya wanita yang dianggap bertaraf rendah
saja yang mengadakan hubungan seks di luar perkahwinan. |
Walaupun
pasangannya, mungkin lelaki daripada kelas atasan. Sekarang, wanita
kelas atasan juga terbabit dalam melakukan zina. Dalam keadaan ini
bolehkah dianggap kegelojohan seks di zaman ini lebih rendah dan lebih
terkawal daripada di zaman jahiliah? |
Di
samping hujah yang tidak logik dan tidak relevan digunakan untuk
menyerang pakaian menutup aurat, tidak ada bukti kukuh yang pakaian
menutup aurat itu menghalang kemajuan. Banyak wanita terpelajar sekarang
memakai pakaian menutup aurat. Mereka maju dan mereka bekerja dengan
gigih. Bahkan mereka turut menjadi penggerak kemajuan. |
Atas
alasan apakah pakaian menutup aurat itu patut diserang. Pakaian yang
bersopan ini sepatutnya dijadikan budaya bangsa kita dan harus dikongsi
bersama oleh rakyat bukan Islam di negara kita sehingga, akhirnya ia
diterima sebagai budaya Malaysia. |
(Dipetik dari Berita Harian Online September 18, 1997) | | | | | | | -HANIS SYAMIRA BT HAJARUL S0FIAN- |
|
|
No comments:
Post a Comment