Setiap kali tibanya musim perayaan terutama Aidilfitri, pasti ramai yang
tidak melepaskan peluang mengadakan rumah terbuka bagi meraikan
kenalan, sanak-saudara serta jiran tetangga secara `eksklusif'.
Ada yang menempah juadah makanan istimewa daripada pihak katering atau
lebih selesa menyediakan sendiri bagi dihidangkan kepada tetamu
jemputan.
Bagi yang mengadakan rumah terbuka dengan penuh keikhlasan pasti mendapat limpahan rahmat dan keberkatan. Jemputan juga perlu diperluaskan kepada jiran tetangga berlainan agama serta bangsa.
Jelas Islam amat menitikberatkan umatnya saling hidup dalam kerukunan.
Rumah terbuka pada Aidilfitri antara peluang yang perlu digunakan bagi
memupuk persefahaman serta permuafakatan dalam menyuburkan hubungan
sesama manusia.
Tetamu yang hadir perlu dimuliakan kerana ia bertepatan dengan saranan
agama yang mahu umatnya saling hormat menghormati serta berkasih sayang
antara satu sama lain.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa menghormati tetamu, maka
sesungguhnya dia menghormatiku dan sesiapa menghormatiku maka dia
memuliakan Allah. Dan, sesiapa menjadi kemarahan tetamu, maka
sesungguhnya dia menjadi kemarahanku. Dan sesiapa menjadikan
kemarahanku, sesungguhnya dia menjadi murka Allah.
Antara tujuan utama rumah terbuka diadakan bagi menghidupkan suasana
kemesraan dan paling penting dapat berkenalan dengan lebih rapat lagi.
Berbeza suasananya di bandar, barangkali masih ada yang tidak mengenali
rapat jirannya walaupun tinggal di sebelah rumah. Justeru, peluang
bertemu dalam majlis itu cukup besar hikmahnya dalam merapatkan ikatan
persaudaraan.
Di sesetengah tempat, ada yang meraikan rumah terbuka dengan mengadakan
majlis marhaban sebelum menikmati juadah. Tidak kiralah apa cara sekali
pun sambutannya asalkan ia tidak melanggar tuntutan syarak seperti tidak
menyediakan makanan secara berlebihan, tiada pergaulan bebas antara
lelaki dan wanita bukan mahram serta tiada majlis tari menari.
Persepsi masyarakat juga perlu diubah supaya mereka tidak mengaitkan
amalan ziarah hanya dilakukan apabila ada rumah terbuka. Namun tidak
bermakna kita boleh 'menyerbu' rumah jiran kita sesuka hati.
Dalam situasi itu, adab ketika berkunjung perlu diberi perhatian dan
sebelum bertandang, pastikan kita memaklumkan terlebih dulu kepada tuan
rumah dan waktunya pula sesuai.
Adab bagi mereka yang berkunjung ke rumah terbuka perlu dijaga supaya ia
menyenangkan hati tuan rumah. Jangan duduk terlalu lama hinggakan tuan
rumah berasa tidak selesa lebih-lebih lagi pada hari itu ramai tetamu
yang hadir dan tempat terhad.
Patuhilah masa yang sudah ditetapkan pihak tuan rumah. Apabila hendak
pulang, jangan lupa minta izin daripada tuan rumah serta ucapkan terima
kasih kepadanya atas jemputan itu.
Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami
menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu
pelbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan.
Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling
takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam
Pengetahuan-Nya." (Surah al-Hujurat ayat 13).
Rasulullah s.a.w sendiri menunjukkan kepada kita contoh mengenai
keindahan dalam hubungan kemasyarakatan. Sikap keterbukaannya sangat
terserlah.
Baginda sering menziarahi keluarga berlainan agama apabila ada kematian,
menghadiri jamuan makan mereka dan menziarahi orang sakit.
Pernah satu ketika Nabi s.a.w dikunjungi utusan daripada kaum Nasrani
dari Najran. Baginda membentangkan serban dan mempersilakan mereka duduk
di atasnya.
Tindakan Rasulullah itu menjadikan utusan terbabit merasai kemurnian
dalam Islam. Tidak lama selepas peristiwa itu, mereka dengan rela hati
memeluk Islam.
Jelas kepada kita, pastinya tiada pertikaian mengenai amalan mengadakan
rumah terbuka selagi berpeluang menyerlahkan matlamat ke arah kebaikan.
Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti
Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, konsep
rumah terbuka sempena Aidilfitri antara wadah perlu digunakan sebaiknya
bagi mengeratkan hubungan silaturahim termasuk yang berlainan agama atau
bangsa.
"Bagaimanapun, pastikan tiada anasir yang berkeinginan merosakkan majlis
atau memperolok-olokkan sikap toleransi yang diamalkan Islam.
"Rumah terbuka untuk semua kaum menjadi lambang keindahan Islam. Ia
hasil semangat muhibah antara manusia yang dianjurkan al-Quran dan
Sunnah," katanya.
Beliau berkata, amalan itu walaupun bukan satu syariat yang diwajibkan
Islam, namun jika dilakukan menurut garis panduan umum syarak, ia
menjadi ibadat yang menguntungkan kepada pelakunya.
"Positifnya, majlis rumah terbuka menyediakan ruang luas bagi umat Islam
melakukan amalan ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan dan menjamu tetamu
yang hadir.
"Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Muslim apabila
menziarahi saudara Muslimnya, maka dia sentiasa dalam khurfah syurga
hingga dia pulang". Baginda ditanya: "Wahai Rasulullah, apakah itu
khurfah syurga?". Jawab Baginda: "Memetik buahnya (dari syurga)" (Hadis
Riwayat Muslim).
"Menjamu tetamu dengan makanan yang terbaik juga antara amalan Rasul.
Hal ini seperti dijelaskan Allah s.w.t di dalam al-Quran ketika
menceritakan perihal Nabi Ibrahim yang memuliakan tetamu yang bertandang
ke rumahnya," katanya.
Allah berfirman yang bermaksud: "Sudahkah sampai kepadamu (wahai
Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk
mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera
kepadamu!'', Ibrahim menjawab: "Salam sejahtera kepada kamu!" (sambil
berkata dalam hati): "Mereka ini orang-orang yang tidak dikenali."
Kemudian dia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar
seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada
mereka sambil berkata: "Silakanlah makan." (Surah al-Dzariyat, ayat
24-27).
Mohd Shahrizal berkata, rumah terbuka menjadi medan terbaik bagi mengumpulkan saudara dan kenalan hadir secara serentak.
"Faktor cuti yang terhad membataskan pergerakan kita hadir ke rumah
setiap rakan. Adanya majlis rumah terbuka pada Aidilfitri ini memberi
peluang kepada kita bertemu," katanya.
Beliau berkata, majlis rumah terbuka juga memberi peluang kepada kita
untuk mempamerkan keindahan Islam dan menggalakkan umatnya menjalinkan
hubungan baik dengan masyarakat bukan Islam.
"Islam tidak pernah melarang umatnya menjemput masyarakat bukan Islam hadir bersama-sama ke majlis umat Islam. Firman
Allah s.w.t yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat
baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu
kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman
kamu sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil" (Surah
al-Mumtahanah, ayat 8).
"Namun, dalam mengadakan majlis rumah terbuka, kita wajib menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang.
"Antaranya, majlis itu diadakan tidak bertujuan untuk bermegah-megah," katanya.
Mohd Shahrizal berkata, keharusan untuk bergembira pada hari raya mencerminkan keindahan Islam di mata orang lain.
"Seperkara lagi yang perlu diingatkan dalam penganjuran majlis rumah terbuka adalah tetamu yang hadir.
"Sewajarnya penganjur menjemput tetamu yang terdiri daripada pelbagai peringkat atau taraf hidup.
"Tidak kira sama ada kaya, sederhana atau yang kurang berkemampuan,
penganjur tidak boleh 'memilih bulu' dengan menjemput tetamu di kalangan
yang kaya dan ternama saja hadir ke majlis rumah terbukanya," katanya.
-HANIS SYAMIRA BT HAJARUL SOFIAN-
No comments:
Post a Comment