Sunday 15 April 2012

PRNGHIBUR KERJAYA YANG CEMERLANG

Penghibur - Kerjaya Yang Malang?

Alangkah peritnya menjadi penghibur. Bertungkus lumus dan bersusah payah mengadakan konsert di merata ceruk negara untuk menghibur para peminat. Penat, lelah, jerih dan letih terpaksa ditanggung. Segala kelengkapan terpaksa dipunggah. Tidur pun lewat malam. Kadang-kadang terpaksa menahan sakit dan uzur. Kalau tidak berkonsert, sibuk pula buat recording. Latihan dan rehearsal silih berganti. Berpuluh-puluh kali recording baru siap satu lagu.
Ada pula yang berlakon. Terpaksa menghafal skrip untuk menghayati watak. Berlakon pula tak tentu masa dan tak tentu tempat. Cahaya lampu panas membakar. Berpuluh-puluh kali shooting baru siap satu adegan. Kalau tak sesuai dengan kehendak pengarah, kena pula ulang lakon berkali-kali . Ini dibuat atas dorongan ringgit, nama, glamour dan populariti.
Apakah peminat benar-benar terhibur dan merasa tenang dan tenteram mendengar dan menonton persembahan para penghibur ini? Malang sungguh. Mungkin para peminat merasa seronok buat sementara tetapi hakikatnya, mereka tidak pernah terhibur. Tidak ada peminat yang tenang hati, tenteram jiwa dan lapang fikiran mereka. Tidak ada masalah mereka yang selesai. Bahkan mereka bertambah liar dan hidup mereka bertambah kusut dan kucar kacir. Kerana masih tidak terhibur, mereka terus mencari hiburan lain.

Yang menagih dadah terus menagih. Yang belum, terus mencuba. Ada yang minum arak. Pergaulan lelaki perempuan bebas sebebas-bebasnya. Apa sahaja yang seronok, pasti akan dicuba. Berparti-parti, berdansa- dansa dan berdating-dating. Ya, itulah hakikatnya. Yang dihibur tak terhibur. Malah tukang hibur sendiri pun tidak terhibur. Tukang hibur menanggung derita. Terkinja-kinja di atas pentas, menari-nari di khalayak ramai, tetapi hati mereka kecewa sengsara. Hati mereka tidak pernah puas, tidak pernah tenang. Keresahan dan kegelisahan sentiasa memburu mereka. Mereka menderita bermacam-macam bimbang dan takut.

Krisis sering terjadi dengan penganjur, pengarah, produser , krisis rumahtangga, malah sesama penghibur sendiri. Kahwin , cerai, kahwin lain dan cerai lagi. Gosip bertabur merata-rata. Tidak kurang yang kena tangkap basah dan terlibat dengan dadah. Status hidup sebagai artis perlu belanja yang besar. Pendapatan tidak menentu. Masa depan sentiasa menghantui fikiran. Apa akan terjadi bila muka sudah berkedut? Bila suara sudah serak? Bila peminat sudah hilang? Bila populariti sudah menurun?

Mungkin ada penghibur yang mengaku tidak dilanda krisis dan masalah seperti ini. Mungkin ada yang mengaku hidup mereka macam orang lain juga. Kalau pun ada yang mengaku begitu, mereka tidak juga merasa bahagia. Ini kerana penghibur juga insan. Penghibur juga manusia. Fitrah manusia itu sukakan kebaikan. Hati kecil dan hati nurani manusia sukakan kebaikan. Semulajadi manusia sukakan kebaikan. Kalau manusia berbuat baik, hati kecilnya akan setuju. Dia akan merasa bahagia, puas dan tenang. Sebaliknya kalau manusia berbuat jahat dan maksiat, dia sebenarnya menentang fitrahnya. Dia melawan hati kecilnya. Dia menentang dirinya sendiri. Tidak akan bahagia orang yang melawan dan menentang dirinya dan hatinya sendiri. Namun kebanyakan para penghibur tidak merasa berdosa akan perbuatan mereka. Tidak merasa apa yang mereka buat itu salah. Mereka begitu terdedah, terbiasa dan mesra dengan cara hidup mereka hingga tidak nampak lagi akan kesalahan perbuatan mereka itu. Seperti orang yang sudah lama bekerja di kandang lembu, baginya baja lembu sudah tidak busuk lagi. Malah bau baja itu dapat menyegarkannya.

Bermuzik-muzik tidak dirasakan bersalah. Berlakon adegan-adegan asmara dan bermesra-mesraan yang berlawan dengan syariat, bergaul bebas lelaki perempuan, dedah aurat, menari-nari di khalayak ramai, malah melalaikan manusia dari mengingati Tuhan, sudah tidak dirasakan salah dan berdosa lagi. Mencetuskan kejahatan dan mudharat di kalangan manusia tidak dirasakan salah . Semuanya dirasakan patut atas alasan kononnya untuk menghibur.

Itulah kata mereka. Tetapi hati kecil mereka tetap tidak merasakan sedemikian. Fitrah asal mereka tetap sepertimana yang ALLAH ciptakan; suka kepada kebaikan dan benci pada kejahatan. Apa yang ALLAH suka, hati kecil akan suka. Apa yang ALLAH benci, hati manusia akan benci. Kecualilah kalau fitrah semulajadi manusia itu sudah rosak. Dia akan melihat yang jahat itu baik dan sebaliknya.

Tuhan telah mencabut hidayah dari hati mereka dan mengecap hati mereka hingga tidak dapat lagi menerima kebenaran. lambat laun, Tuhan pun mereka akan nafikan. Yang dirasakan seronok itu bukannya kebahagiaan atau hiburan yang hakiki. Ia tidak membawa kepada ketenangan jiwa. Ia hanyalah kesenangan sementara atas desakan hawa nafsu.

Firman ALLAH SWT: " sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan"
( Surah Yusuf :53)

Dan nafsu itu tidak pernah merasa puas. Setiap kali kita mengikut kehendak nafsu, kita melawan fitrah kita. Setiap kali itu jugalah kita akan menderita. Orang yang paling kuat berbuat dosa dan maksiat adalah orang yang paling tidak bahagia. ALLAH dan manusia turut membencinya.

Kebahagiaan yang sebenar adalah apabila perbuatan lahir dan batin kita mengikut kehendak ALLAH dan Rasul. Fitrah asal manusia kita bersetuju dengannya. Dan kebahagiaan yang sebenar ialah apabila segala anggota kita dapat mencetuskan kebaikan dan manfaat untuk manusia lain. Sekian.

-HANIS SYAMIRA BT HAJARUL SOFIAN-

No comments:

Post a Comment