Friday 13 April 2012

Pantun Buat Sahabat


Kapal terbang penuh muatan,
Terbang ke China dari Jakarta;
Khabar dilayang tanda ingatan,
Orang di sana apa cerita?
Tenang lagi air di tasik,
Seri pagi berkembang ceria;
Selamat pagi sahabat baik,
Moga hari bersinar bahagia.

Laut biru luas terbentang,
Pulau dan darat ditemu jambatan;
Kau aku mata tak bertentang,
Rindu terikat dalam ingatan.

Ambillah makan kelapa puan,
Lembut isi putihnya padat;
Salam ingatan buatmu tuan,
Moga hari disinar berkat.

Ombak tak putus dari lautan,
Terang mentari hari pun hangat;
Salam ku utus tanda ingatan,
Kerana budi hati teringat.

Terang mentari hari pun hangat,
Suburnya kulim juga rumbia;
Kerana budi hati teringat,
Doa ku kirim moga bahagia.

Camar pulang di kala petang,
Hari redup mentari di barat;
Indah bulan dipagar bintang,
Lengkap hidup berteman sahabat.
by ixoramerah
-NURAIN BINTI ROSLI-

No comments:

Post a Comment