Sunday 22 April 2012

KELABIHAN MEMBACA BUKU

Kebaikan Membaca Buku


SEBAGAI remaja, kita perlu memupuk tabiat membaca untuk menambahkan ilmu pengetahuan, menajamkan pemikiran dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t.. Tamadun Islam itu sendiri bertunjangkan budaya ilmu yang berpandukan petunjuk al-Quran dan sunah.
Ilmuwan Islam terdahulu menghidupkan budaya ilmu melalui kegiatan membaca, bermuzakarah serta penulisan.
Wahyu pertama yang diterima oleh Nabi Muhammad s.a.w. iaitu ayat pertama surah al-Alaq ialah Iqra’ yang bermaksud Bacalah. Justeru Islam sendiri mengisyaratkan budaya membaca sebagai salah satu lorongan ke arah menuntut ilmu.
Terdapat remaja yang menyedari akan kebaikan membaca tetapi tidak mengamalkannya. Alasan yang diberikan adalah seperti ketiadaan minat membaca, sentiasa sibuk, halangan bahasa atau sebagainya. Maka persoalannya apakah kaedah yang boleh digunakan dalam usaha menyuburkan tabiat membaca.
Satu Buku Setiap Masa
Satu cara utama yang berkesan ialah dengan sentiasa membawa sebuah buku walau ke mana kita pergi. Apabila kita mempunyai masa senggang seperti ketika menunggu bas atau menaiki (sistem transit aliran ringan (LRT), buku tersebut boleh kita baca. Di samping mengisi masa, kita juga dapat menambah ilmu pengetahuan.
Tetapkan Matlamat Dalam Membaca
Kita boleh menetapkan matlamat dari segi berapa lama dalam sehari kita ingin membaca atau berapa banyak buku kita ingin membaca dalam sesuatu tempoh masa. Sebagai contoh kita boleh menetapkan matlamat untuk beristiqamah membaca sesebuah buku itu walaupun sekadar lima atau 10 minit sehari. Atau kita boleh meletakkan matlamat untuk menghabiskan pembacaan sebuah buku dalam sebulan.
Matlamat pembacaan tersebut haruslah mencabar tetapi realistik. Apabila tabiat membaca semakin bercambah, kita boleh menetapkan matlamat pembacaan yang lebih mencabar. Matlamat juga boleh ditulis di atas sehelai kertas dan ditampal di tempat yang mudah dilihat sebagai pencetus motivasi.
Pilih Buku Menarik Dan Bermutu
Membaca adalah satu pengalaman yang menyeronokkan, khasnya apabila buku tersebut adalah daripada genre yang diminati serta dapat difahami. Sekiranya buku tersebut begitu sukar difahami, kita mungkin cepat terasa jemu atau resah walaupun baru beberapa minit menatapnya.
Setelah kegiatan membaca telah menjadi tabiat, maka kita boleh memilih buku yang lebih mencabar. Namun sebagai permulaan, dapatkan buku yang buku yang sesuai dengan minat serta tahap kefahaman kita. Seperkara yang perlu diambil perhatian, buku yang dipilih perlulah mempunyai pengisian yang bermutu dan bukan sekadar bercorak picisan atau popular sahaja.


-HANIS SYAMIRA BT HAJARUL SOFIAN-

No comments:

Post a Comment