Semua orang yang mengaku beragama Islam sebenarnya sedar tentang
kewajipan melakukan solat. Namun, ramai yang kesedarannya hanya bermain
di hujung lidah sahaja. Tidak turun ke hati dan dizahirkan dengan
perbuatan.
Maka, bukan suatu yang ganjil sekiranya kita dapati orang yang beragama
Islam, namun gagal mendirikan solat. Mungkin kerana malas ataupun jahil
akan akibatnya.
Sekiranya Islam itu diumpamakan sebagai rumah, maka tiang yang menjadi
tunjang kepadanya ialah solat. Demikianlah perumpamaan yang telah dibuat
oleh Rasulullah SAW dalam menyatakan peri pentingnya solat dalam
kehidupan beragama seseorang muslim.
Ia sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Solat
itu tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia telah mendirikan
agama dan sesiapa meninggalkan solat dia telah meruntuhkan agama”.
(riwayat Baihaqi)
Justeru, sesiapa yang meninggalkan solat walaupun mengerjakan
ibadah-ibadah yang lain seolah-olah memiliki rumah yang indah dan mewah,
tetapi tidak mempunyai tiang yang kukuh untuk menjaminnya kekal teguh.
Maka, lama-kelamaan rumah tersebut akan runtuh dan musnah menyembah
bumi. Perumpamaan ini begitu signifikan sekali sekiranya dikaitkan
dengan realiti masyarakat Islam yang ada pada hari ini.
Bukan sedikit yang meninggalkan solat walaupun tetap melakukan ibadah yang lain seperti menunaikan zakat dan berpuasa di bulan Ramadan.
Sebahagian mereka pula pada umumnya tidak meninggalkan solat, tetapi
lalai serta alpa dalam mengerjakannya dengan kata lain suka
melengah-lengahkan solat dan bersolat di akhir waktu.
Sebahagian lagi walaupun mendirikan solat namun gagal untuk menumpukan
hati dengan penuh khusyuk dan tawaduk ketika melakukan solat. Solat
hanya menjadi rutin biasa dalam kehidupannya tanpa memberikan kesan yang
positif kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.
Bahkan, semakin hari mereka semakin jauh dari agama Allah SWT. Akhirnya,
di atas kealpaan dan kelalaian ini, maka mereka digolongkan dalam
neraka bersama dengan azab yang tidak terperi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Kecelakaanlah bagi orang yang solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya. (al-Maa’un: 4-5)
Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: (Setelah melihat orang-orang
yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk
ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami
tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.
(al-Muddathir: 43)
Meninggalkan solat merupakan dosa yang boleh menghampirkan seseorang itu
dengan kekufuran. Ini adalah kerana, solat adalah penghubung seseorang
hamba kepada penciptanya.
Sekiranya solat tidak dikerjakan, maka terputuslah hubungan dengan Allah
SWT. Bukti seseorang itu masih beriman kepada Allah SWT ialah solat.
Ini dapat dilihat dari firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Aku
ini Allah, tidak ada tuhan selain Aku. Dan dirikanlah solat itu
semata-mata untuk mengingati Daku. (Taha: 14)
Bahkan, ada beberapa hadis yang menyatakan bahawa seseorang itu boleh
dianggap kufur sekiranya meninggalkan solat. Antaranya, hadis yang
diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a menyatakan, bahawa Rasulullah
SAW bersabda: Antara seorang lelaki Muslim dengan syirik dengan kufur
kepada Allah, ialah solatnya yang ditinggalkan. (riwayat Muslim)
Hadis lain yang memperkatakan tentang kekufuran akibat meninggalkan
solat dengan sengaja asalah: “Perjanjian antara kami dengan mereka itu
adalah solat, maka sesiapa yang meninggalkannya, maka kufurlah dia”.
Namun, terdapat perbezaan pandangan di kalangan para ulama berhubung
hukum meninggalkan solat dengan sengaja, sama ada kufur atau berdosa
besar.
Pandangan-pandangan ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu:
1. Golongan pertama berpandangan bahawa orang yang meninggalkan solat
secara sengaja, namun tidak mengingkari tentang kewajipannya dikira
sebagai berdosa besar (fasiq). Tetapi dia tidak dianggap kafir.
Sebaliknya, orang yang meninggalkan solat dalam keadaan dia menafikan kewajipannya akan dianggap sebagai kafir.
2. Golongan kedua pula berpandangan bahawa meninggalkan solat secara
sengaja atau malas boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kafir, bukan
berdosa besar.
Justeru, orang yang meninggalkan solat itu perlu untuk mengucap kalimah
syahadah semula dan bertaubat dengan dosa kekufuran tersebut.
Daripada kedua-dua pandangan ini, pandangan pertama dilihat lebih tepat.
Ini kerana, perkataan kufur atau kafir dalam hadis-hadis tersebut
bermaksud melakukan dosa besar.
Walaupun begitu, ini bukanlah bermaksud kita boleh meninggalkan solat
sewenang-wenangnya. Ia tetap dosa besar dan boleh mengundang murka
daripada Allah SWT.
Solat yang ditunaikan secara sempurna seperti yang disunnahkan oleh
Rasulullah SAW menjadi asas penting kepada kecemerlangan didunia dan di
akhirat.
Menerusi solat seseorang itu dididik dan dilatih agar sentiasa
mengingati Allah, memperbanyakkan zikir, istiqamah dengan amalan soleh,
berdisiplin dengan waktu, menjauhkan kemungkaran dan sebagainya.
Pendek kata, dengan mendirikan solat dan menghayati makna di sebalik
solat itu menjadi asas kepada kebahagiaan hakiki di dunia dan di
akhirat.
No comments:
Post a Comment