Sunday 1 April 2012

ALAM TERCEMAR KERANA IMAN TERCALAR

22 APRIL 2011: HARI BUMI SEDUNIA
“Ini amaran pertama. Kami telah menemui dua keping plastik di dalam bungkusan sisa makanan dari tong sampah berwarna perang pada tarikh 25 Mac 2002″ jelas surat yang berada di tangan saya.
“What! Mereka ni periksa satu-satukah bungkusan sampah kita?” saya terkejut besar.
Isteri saya juga.
Saya mengakui kesilapan saya. Walaupun pengasingan sampah dibuat seteliti mungkin, tetapi ada masanya tersilap juga. Akan tetapi, apa yang mengejutkan saya ialah betapa tegas dan telitinya Galway City Council memastikan penduduknya mengasingkan sampah mereka sebagaimana yang diarahkan.

Saya kagum dengan Galway.
Galway merupakan bandar terawal di Ireland yang mengamalkan sepenuhnya sistem kitar semula sampah secara total. Setiap rumah dibekalkan dengan 3 tong sampah berwarna hijau, perang dan kelabu.
Tong hijau untuk barang-barang yang boleh dikitar semula dan kering, seperti surat khabar lama, kotak-kotak dan sebagainya. Manakala tong perang pula adalah untuk barang organik seperti lebihan makanan dan sebagainya, di mana kesemuanya mesti dibungkus di dalam kertas sebelum dimasukkan ke dalam tong sampah. Manakala tong kelabu pula adalah untuk bahan buangan yang tidak boleh dikitar semula.
Sistem ini telah benar-benar mengubah cara hidup saya sekeluarga. Bagi tetamu yang datang dari bandar lain, sering terpaksa saya ingatkan dan mereka juga terpaksa bertanya ke bahagian mana sampah patut dibuang.
“Ehh, tunggu kejap. Plastik tu masukkan dalam bekas ni. Tulang-tulang tu masukkan di sana” saya terpaksa mendisiplinkan tetamu luar yang datang ke rumah.

Tetamu yang datang ke rumah saya di Upper Newcastle, mesti belajar mengasingkan sampah!
Malah semasa saya mula-mula berpindah ke Galway dari Belfast, kotak-kotak dan plastik pembungkus perabot dan barang-barang lain, semuanya saya masukkan kembali ke dalam van, dan terpaksa meminta jasa baik kawan agar sampah itu dibawa balik ke Belfast dan dibuang di sana.
Bukan apa, kepala saya pening untuk biasakan diri pada hari-hari pertama di Galway.
Tetapi saya tidak pernah berasa terbeban dengan peraturan ini, malah saya rasa perbuatan mengasing dan mengitar semulakan sampah, sangat selari dengan Iman saya sebagai Muslim.
Apabila saya rasa seperti mahu culas dengan secara tidak endah memasukkan sampah ke bekas yang salah, serta merta saya rasa tercalar Iman. Terasa Allah memerhati dan terasa betapa perbuatan saya itu merosakkan alam yang Allah beri kepada saya untuk diuruskan sebagai khalifah-Nya.
Kesan daripada disiplin itu, sampai sekarang saya tidak tergamak untuk membuang sampah merata-rata, walaupun hanya sekadar bungkusan gula-gula sebesar tapak tangan saya.
Setiap kali saya makan gula-gula, bungkusannya saya lipat dan masukkan ke dalam kocek, sehinggalah saya berjumpa dengan tong sampah.
Di rumah, apabila pakaian saya mahu dibasuh, poket-poket sering perlu diperiksa kerana bimbang ada bungkusan gula-gula atau apa-apa kertas yang saya simpan, dan ia tidaklah pula menyulitkan saya sekeluarga.
Pada saya, penjagaan alam sekitar adalah soal Iman dan peranan saya sebagai Khalifah. Saya bertanggungjawab memelihara alam sekitar kerana alam ini adalah amanah.
Allah telah menjadikan air sebagai sumber kehidupan, maka menjaga air dan sumbernya adalah sebahagian daripada agenda saya memperelokkan kehidupan manusia. Maka agenda menjaga sumber air, adalah agenda saya sebagai pendakwah dan pekerja Islam.

Claddagh, keindahan kuala sungai di Galway yang mendamaikan
“Eleh, macam bagus aje. Tahulah kamu tu lama duduk di Eropah!” sindir rakan saya apabila saya menegurnya membuang tisu dari tingkap kereta.
Mungkin ia hanya isu kecil sekecil kertas tisu itu sendiri. Tetapi saya sendiri terasa begitu malu dilihat berada di dalam kereta berkenaan. Lazimnya saya akan mencabut ketayap dan menyimpannya kerana tidak mahu dikaitkan ketayap itu dengan perbuatan ‘jenayah’ membuang tisu dari tingkap kereta.
Timbul rasa kesal melihat rumah rakan-rakan yang aktif dengan dakwah tetapi gagal terhadap kebersihan. Saya tidak pasti bagaimana kita boleh bercakap tentang Islam dalam keadaan diri yang pengotor, atau menghalalkan kekotoran di dalam kehidupan.
Bukankah Allah sendiri telah menggabungkan kerja dakwah dengan imej yang bersih?
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi” (Al-Muddaththir 74 : 1-5)
PENDAKWAH DAN KEBERSIHAN
Pakaian tidak bersih, adalah satu bab.
Tetapi rumah yang kotor, inilah yang paling mendukacitakan.
Bercakap berdentam dentum tentang Islam, tetapi amalan Islam sekecil menjaga kebersihan ini gagal diamalkan. Kita  hilang keyakinan.
Teringat saya kepada satu pepatah kaum yang terkenal dengan sensitiviti mereka tentang kebersihan iaitu masyarakat Turki. Ada pepatah mereka yang menyebut ‘arslan yatağından bellidir’. Maksud peribahasa itu ialah, “singa itu diketahui hebat atau tidaknya ia, daripada rupa tempat tidurnya!”
Peribahasa ini sering disebut oleh emak-emak semasa menyuruh anak remajanya mengemas tempat tidur. Hebat atau tidaknya seseorang, diukur pada rupa tempat tidurnya.
Jika pejuang Islam, tidur di katil ladang pijat dan berbantalkan ‘peta Kepulauan Melayu’, saya rasa Iman jadi amat tercalar.
Inilah yang saya temui dari kehidupan saya selama bermastautin di bandar seperti Galway. Walaupun tiada suara Islam, tiada label Islam, tetapi banyak substance Islam itu menjadi sebahagian daripada kehidupan.

Tanpa label Islam sekali pun, hidup masih disistemkan dengan kehendak Islam
Ketika negara Islam kita sibuk menswastakan air, di Ireland yang tiada Petroleum sebagai sumber negara itu, tiada bil air. Hanya sedikit jumlah yang dibayar sekali setahun untuk pengurusan. Penjagaan alam sekitar pula sangat dititik beratkan.
Malah ada bandar di Ireland yang tidak membenarkan lampu jalan dipasang dalam keadaan cahayanya terlepas ke atas. Fingal County Council menerima kenyataan bahawa cahaya yang terlalu silau dari lampu di bandar-bandar menyebabkan langit sukar dilihat. Akibatnya, keindahan bulan dan bintang tidak dapat dinikmati oleh generasi hari ini dan ia dianggap sebagai merampas hak manusia untuk memanfaatkan langit yang membumbungi kehidupannya.
Kalau saya sebut istilah ‘pencemaran cahaya’ di Malaysia, mungkin ramai yang ketawa terguling-guling meremehkan ia.
Terlupa kepada perintah Allah untuk kita mengamati langit. Melihat bintang dan bulan, memikirkan kebesaran-Nya. Menjadi Ulul Albaab.
Sedangkan begitulah sekali prihatinnya orang Ireland kepada alam sekitar. Tanpa Islam sekali pun, alam sekitar mereka lebih kelihatan seperti ada Khalifah yang menjaganya.
Di mana umat Islam dalam sensitiviti mereka menjaga alam sekitar?
Dalam rindu saya kepada bau pohon tin, terkenang pula kebiasaan saya ternampak anak dara dengan begitu selamba mencampakkan plastik hitam berisi sampahnya dari tingkap rumah di tingkat 4 ke bawah! Ada kalanya plastik itu tersangkut di penyidai baju rumah kami di tingkat 2.
Saya sering ‘bertasbih’ memaki Arab kerana tabiat yang buruk dan keji ini.
Tetapi apabila balik ke Malaysia, sikap yang sama semacam bertambah buruk dari sehari ke sehari. Lihat sahaja setiap sungai dan longkang yang membelah KL. Kawasan yang jarang banjir seperti pekan Kajang juga boleh ditenggelami air dek pencemaran oleh sampah sarap yang memenuhi persekitaran.
PENDAKWAH DAN ISU ALAM SEKITAR
Mengeluh sahaja tiada manfaatnya. Saya yakin, perubahan ini mesti diusahakan bermula dari agenda pendakwah sendiri.
Apabila kita memperkatakan tentang Islam sebagai sistem hidup yang lengkap, sistem itu bukan hanya pada undang-undang. Manusia tidak boleh hidup di dunia ini jika mereka hanya dihidangkan dengan undang-undang.
Manusia perlukan air yang bersih, mereka perlukan udara yang bersih. Di sisi pendidikan yang baik dan undang-undang yang menjaga.
Tidakkah di dalam al-Quran dan al-Sunnah itu penuh dengan arahan memelihara alam sekitar? Tidakkah kita perasan betapa kaedah membina rumah pun, diperincikan oleh Syariat. Ketinggian bangunan jangan sampai menyekat cahaya matahari dari rumah jiran. Bagaimana saluran air longkang patut dialirkan dalam hal penggunaan tanah jiran dan tanah awam?
Semua itu ada di dalam Islam. Dan ia sebahagian daripada Islam sebagai sistem hidup yang diperjuangkan.
Maka perjuangan Islam dan dakwah tidak boleh terhenti setakat leteren terhadap hal-hal yang bersifat konsep dan retorik. Penjagaan alam sekitar mesti diterima sebagai sebahagian daripada dakwah dan jihad di jalan Allah.
Pada saya, pencemaran alam adalah berkala dengan pencemaran Islam. Jika alam di sekeliling kita terus tercemar, air diniagakan oleh badan swasta tanpa integriti hingga mencetuskan kesusahan, rumah terus kotor dan halaman seperti kediaman Yahudi (sebagaimana yang diingatkan oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam), maka Islam yang dilaungkan hanyalah retorik yang kosong.
Lebih kuat Iman, lebih kuatlah kita menjaga alam persekitaran.
DUNIA INI
(Lagu: Erwan Johari. Lirik: Hasrizal Abdul Jamil. Nyanyian: Erwan Johari. Persembahan: Usrah al-Firdaus Jordan. Album: Dunia Ini ,1996)

Dunia ini indah cantik dipandang
Rahmat Allah kepada hamba-Nya
Suria tersenyum riang, insan aman bahagia
Menikmati kasih sayang-Nya
Dunia ini insan hidup harmoni
Dengan keadilan Ilahi
Pemerintah bertaqwa rakyat taat setia
Menjunjung Islam yang mulia
Sayangnya itu cuma semalam
Manusia lupa pada Tuhannya
Pohon rebah ke bumi gunung runtuh berkecai
Rakusnya hawa nafsu mereka
Bumi merintih hiba
Tuhan semakin murka
Lantaran makhluk yang durhaka
Dunia ini selamatkan segera
Dari tangan insan durjana
Membina kesombongan lupa kemanusiaan
Bencana tak berkesudahan
Dunia ini kembalikan segera
Kepada sistem Penciptanya
Pemerintahan Islam rahmat untuk semua
Adil diberkati dan saksama
Malangnya jika kita semua
Lupa kepada janji Tuhan
Islam penyelesaian tiada dua dan tiga
Sejarah telah membuktikan
Bumi merintih rindu
Tuhan terus menunggu
Insan pulang ke pangkuan-Nya
Islam adalah Thaharah dan Nazafah.
Jika Nazafah yang fizikal tidak diendahkan, bagaimana dengan Thaharah yang maknawi?

-SITI KHATIJAH BT SHAROM-

No comments:

Post a Comment